Dasar Pendidikan Kebangsaan di Malaysia : Sejarah Perkembangan, Langkah Menjayakan dan Isu-isu Semasa.
1. Pengenalan
Sistem pendidikan penjajah telah digantikan dengan sistem pendidikan kebangsaan. Sistem yang terdahulu tidak mengambil kira pembangunan, pembentukan identity kebangsaan dan perpaduan negara. Atas kesedaran inilah lahirnya Dasar Pendidikan Kebangsaan, 1957. Penyata Razak (1956) dan Laporan Rahman Talib ( 1960 ) telah menjadi asas pembentukan sistem dan Dasar Pendidikan ( Pelajaran ) Kebangsaan seperti termaktub dalam Akta Pelajaran Kebangsaan 1961. Kemudian sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan Kebangsaan. Tujuan untuk memperbaiki perlaksanaannya supaya matlamat melahirkan satu masyarakat yang bersatu padu dan berdisipilin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahuan 1976.
1.1 Sejarah Perkembangan Pendidikan di Malaysia
1.1.1 Sejarah awal Pendidikan di Tanah Melayu
Corak pendidikan yang ada pada waktu ini berbentuk bukan formal. Ia wujud dan berkembang bersama-sama pengembangan agama Islam di negari-negeri Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Melayu pada abad ke 14. Pedagang Arab dan India yang beragama Islam datang ke kawasan Asia Tenggara. Di waktu itu wujudnya institusi pendidikan yang dinamakan ‘sekolah pondok’. Sekolah pondok ini dibangunkan dan dimajukan bersama secara gotong royong di kalangan masyarakat setempat. Pada abad ke 18 dan 19 di Terengganu, Kelantan dan Kedah yang paling banyak sekolah pondok. Ramainya tokoh-tokoh agama muncul menyebarkan agama Islam di Semenanjung Tanah Melayu. Sekolah pondok juga merebak di Semenanjung Tanah Melayu termasuk Singapura. Sehingga sebelum abad ke 20 masih tiada sistem dan organisasi pendidikan berbentuk formal.
1.1.2 Pendidikan Di waktu Penjajahan Inggeris (1800 hingga 1956)
Sistem pendidikan diwaktu ini adalah warisan budaya pendidikan zaman pemerintahan Inggeris. Diwaktu zaman ini terbentuk lima jenis persekolahan iaitu Sekolah Vernukular Melayu, SekolahVernukular Cina , Sekolah Vernukular India, Sekolah Vernukular Inggeris dan Sekolah Agama ( Madrasah ). Ciri-ciri sebegini rupa terbentuk kerana mengambil kira faktor politik, ekonomi ,sosio-budaya dan agama.
1.1.3 Pendidikan Sebelum Merdeka ( 1941 hingga 1956 )
Waktu pemerintahan Jepun ( 1941 hingga 1956 ) Pendidikan Tamil dan Pendidikan Melayu diteruskan dengan ditambah bahasa Jepun. Penubuhan sekolah Nippon-Go untuk menggantikan Sekolah Vernukular Cina dan Inggeris. Pengajaran lebih ditekankan lagu-lagu klasik Jepun dan Kebudayaan Jepun. Selepas tamat Perang Dunia Kedua 1946 , Inggeris kembali semula ke Tanah Melayu. Keadaan sistem pendidikan diwaktu ini bercelaru, orang Melayu telah mula kuat semangat nasionalisme dan masyarkat Cina, India masih mahu kekal bermastautin di Malaya.
Selain daripada itu dikalangan orang Melayu mula timbul kesedaran untuk memajukan pendidikan. Melalui pendidikan, ekonomi dan sosial orang Melayu ditingkatkan. Atas desakan dan kesedaran orang Melayu untuk memperluaskan peluang pendidikan untuk kanak-kanak Melayu. Kaum Melayu mula mendesak pihak kerajaan Inggeris memperbaiki keadaan pendidikan di sekolah-sekolah Melayu. Maka pada tahun 1950 satu Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh L.J.Barnes telah ditugaskan untuk menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan orang Melayu. Pada tahun 1951 terbentuklah Jawatankuasa L.J.Barnes fokusnya kepada pendidikan orang Melayu dan membawa kepada seluruh sistem pendidikan perlu dirombak semula.
1.1.4 Perkembangan Pendidikan Dari Tahun ( 1957 hingga 1970 )
Untuk gambaran yang lebih jelas kita perlu melihat kronologi peristiwa perkembangan yang berlaku didalam sistem pendidikan pada waktu itu.
-Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957
-Laporan Rahman Talib 1960
-Pendidikan rendah percuma
-Peperiksaan masuk sekolah menengah dimansuhkan 1964
-Pendidikan menengah komprehensif atau pendidikan aneka jurusan Diperkenalkan 1965
-Peperiksaan darjah lima diperkenalkan 1967
-Jawatankuasa perancangan pelajaran tinggi dibentuk membawa tertubuhnya Majlis Pelajaran Tinggi 1968. ITM,TAR,UKM.
-1967 Laporan Khir Johari dikemukakan dan Akta Bahasa Kebangsaan diluluskan.
-Peristiwa 13 Mei 1969 .-ekoran dari itu Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara sebagai panduan, perumusan dari pendidikan dan matlamatnya.
- Majlis Operasi Kebangsaan-kehidupan kampus pelajar UM. Laporan Majid 1971 dikemukakan.
-Laporan Murad 1973 – kandungan keciciran pelajar
-Laporan Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Perlaksanaan Dasar Pelajaran atau Laporan Kabinet 1979.
-Laporan Kabinet mencadangkan-KBSR terlaksana 1983 dan KBSM pada 1989.
1.1.5 Perkembangan Pendidikan dari Tahun 1970 hingga 1990
Tahun-tahun diantara 1970 hingga 1990 merupakan era penyusunan semula sistem pendidikan di Malaysia. Usaha dan tumpuan yang lebih bagi pihak kerajaan reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan. Ini bertujuan bagi mencapai matlamat membina sebuah masyarakat yang bersatu padu yang mempunyai identiti sendiri.
Oleh itu dasar-dasar pendidikan yang mendokong semangat kebangsaan. Penyusunan organisasi pendidikan yang selaras meliputi peringkat sekolah pada peringkat Sek.Men dan Sek.Ren sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak supaya mengikuti dasar kerajaan. Struktur kurikulum untuk sekolah, pendidikan guru dan pendidikan tinggi supaya wujud kesinambuangan dan kerelevanan peringkat-peringkat pendidikan. Seterusnya ia dapat memperbaiki keadaan demokrasi dan ekuti dalam pendidikan agar wujud kesamarataan penyertaan untuk etnik dan geografi.
1.2 Dasar Pendidikan Negara
Dasar pendidikan negara sebelum merdeka mewujudkan 5 jenis sistem persekolahan yang terasing di antara satu sama lain, iaitu sekolah Inggeris, Melayu, Cina, India dan agama. Usaha-usaha telah dijalankan untuk menuju ke arah penyatuan sistem pendidikan. Selepas merdeka, usaha mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan diteruskan.
Oleh itu dasar pendidikan negara telah digubal pada peringkat pusat oleh Kabinet, Kerajaan dan Kementerian Pendidikan melalui sistem Jawatankuasa. Tujuannya ialah membentuk satu sistem pendidikan yang seragam menyeluruh dan diterima pakai seluruh negara.
Dasar pendidikan kini lebih bertujuan membentuk perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Satu dasar pendidikan yang lebih baik adalah penting bagi membentuk negara yang stabil, bersatu-padu dan progresif.
1.2.1 Penyata Barnes, 1950
Pada Ogos 1950, satu jawatankuasa yang diketuai oleh L.J. Barnes ditubuhkan bagi mengkaji masa depan sistem pendidikan di Tanah Melayu. Setelah menjalankan kajian, satu penyata yang dikenali sebagai Penyata Barnes disediakan dan dikemukakan kepada Kerajaan British pada tahun 1951. Penyata ini mengandungi syor-syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa ini. Antara syor-syor ini ialah:
a Sekolah vernakular digantikan dengan sekolah kebangsaan.
b. Sekolah kebangsaan dibuka kepada semua kaum dan diajar oleh guru dari pelbagai kaum dan keturunan.
c. Sekolah rendah – Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Sekolah menengah – Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar.
d. Semua murid diberi pelajaran percuma di sekolah rendah selama 6 tahun.
Penyata ini dibantah oleh kaum Melayu, Cina dan India. Kaum Melayu membantah kerana kedudukan Bahasa Melayu tidak diberi kedudukan yang wajar. Bagi Cina, sekolah kebangsaan dianggap seolah-olah mengancam kebudayaan dan Bahasa Cina yang mereka banggakan. Orang India menentang kerana permintaan mereka supaya kedudukan sekolah Tamil dikaji telah ditolak oleh kerajaan.
1.2.2 Laporan Fenn-Wu, 1951
Pada tahun 1951, kerajaan telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji kedudukan sekolah Cina. Jawatankuasa ini dketuai oleh Dr. W.P. Fenn dan Dr. Wu Teh-Yao. Tugas utama jawatankuasa Fenn-Wu ialah mengkaji kemungkinan menjadikan sekolah Cina yang menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai pengantar dan Bahasa Cina sebagai satu matapelajaran pilihan. Syor-syor yang dikemukakan ialah:
a. Sekolah Cina dikekalkan tetapi kurikulumnya berdasarkan latar belakang tempatan.
b. Sekolah Cina menyokong konsep penggunaan 3 bahasa sebagai bahasa pengantar supaya perpaduan di antara kaum tidak terjejas.
Laporan Fenn-Wu ditolak oleh UMNO kerana tidak menguntungkan orang Melayu.
1.2.3 Ordinan Pelajaran, 1952
Pada bulan September 1952, satu jawatankuasa Penasihat Pusat ditubuhkan bagi mengkaji Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu. Jawatankuasa ini mengesyorkan beberapa cadangan yang kemudian diluluskan menjadi Ordinan Pelajaran 1952. Antara cadangannya ialah:
a. Penubuhan 2 jenis sekolah yang menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
b. Pelajaran selama 6 tahun dengan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah.
c. Sekolah kebangsaan yang dicadangkan oleh Barnes dilaksanakan.
d. Sekolah Cina dan Tamil tidak termasuk dalam konsep sistem sekolah kebangsaan.
Ordinan Pelajaran 1952 tidak dapat dilaksanakan kerana berlakunya Darurat.
1.2.4 Penyata Razak, 1956
Jawatankuasa Razak ditubuhkan pada 30 September 1955 untuk mengkaji Ordinan Pelajaran 1952. Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Dato’ Abdul Razak bin Hussein. Hasil kajian jawatankuasa ini terkandung dalam Laporan Razak yang dikemukakan pada bulan April 1956. Berikut ialah kandungan Laporan Razak:
1. Sekolah rendah
a. Sekolah rendah dibahagikan kepada Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) yang menggunakan Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.
b. Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris merupakan matapelajaran wajib.
c. Murid keturunan Cina dan Tamil di sekolah aliran Inggeris diberi peluang mempelajari bahasa ibundanya jika ada 15 orang atau lebih murid ingin belajar.
d. Guru-guru mestilah mempunyai Sijil Sekolah Menengah Rendah dan mendapat latihan sepenuh masa setahun dan separuh masa 2 tahun.
2. Sekolah menengah
a. Sekolah menengah dibahagikan kepada 3 peringkat iaitu sekolah menengah rendah (3 tahun), sekolah menengah atas (2 tahun) dan pra-U (2 tahun).
b. Satu jenis sekolah menengah sahaja yang Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sebagai matapelajaran wajib.
c. Terbuka kepada semua kaum dan menggunakan sukatan yang sama.
d. Bagi memasuki sekolah menengah, mesti lulus peperiksaan memasuki sekolah menengah.
3. Sistem peperiksaan
a. Sekolah menengah rendah
Peperiksaan di peringkat Tingkatan 3 (peperiksaan bersama) dan mesti lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP/LCE) bagi memasuki sekolah menengah atas.
b. Sekolah menengah atas
Peperiksaan bersama di Tingkatan 5 untuk memperolehi Sijil Persekutuan Tanah Melayu yang sama taraf dengan Cambridge Overseas Certificate.
c. Pra-U
Peperiksaan di Pra-U tahun kedua untuk memperolehi Sijil Tinggi Pelajaran (STP/HSC) untuk memasuki universiti.
Laporan Razak telah diluluskan pada April 1957 dan dikuatkuasakan sebagai Ordinan Pelajaran 1957. Laporan Razak ditentang oleh orang Melayu kerana tiada ketegasan dalam pelaksanaan bahasa kebangsaan. Orang Cina menentang kerana sesetengah cadangan dikatakan mengabaikan pendidikan Bahasa Cina.
1.2.5 Laporan Rahman Talib, 1960
Pada tahun 1959, Jawatankuasa Penyemak Pelajaran ditubuhkan bagi mengkaji semula perlaksanaan Laporan Razak dan langkah-langkah bagi mewujudkan satu sistem pendidikan kebangsaan. Jawatankuasa ini diketuai oleh Abdul Rahman bin Haji Talib. Beberapa syor telah dikemukakan:
1. Bahasa kebangsaan
a. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
b. Peperiksaan awam diadakan dalam Bahasa Melayu.
c. Semua calon mesti lulus Bahasa Melayu sebelum masuk ke sekolah menengah.
2. Kelas peralihan
Kelas peralihan diadakan bagi pelajar dari SRJK(C) dan SRJK(T) yang ingin bertukar ke sekolah menengah aliran Melayu atau Inggeris.
3. Kenaikan automatik
a. Kenaikan darjah secara automatik di semua sekolah rendah dan sekolah menengah bantuan kerajaan.
b. Peluang pendidikan selama 9 tahun disediakan secara automatik iaitu 6 tahun sekolah rendah dan 3 tahun sekolah menengah rendah.
c. Pelajaran percuma kepada semua sekolah rendah tanpa mengira bahasa pengantarnya.
4. Matapelajaran akhlak
a. Murid beragama Islam – Pendidikan Islam.
b. Murid bukan beragama Islam – Pendidikan Moral.
1.2.6 Akta Pelajaran, 1961
Syor-syor Laporan Rahman Talib akhirnya digubal menjadi Akta Pelajaran 1961. Melalui akta ini:
a. Semua sekolah menggunakan kurikulum yang sama tanpa mengira aliran sekolah.
b. Bahasa Melayu digunakan sepenuhnya dari sekolah rendah ke sekolah menengah sampai institusi pengajian tinggi.
c. Umur minimum meninggalkan sekolah – 15 tahun.
1.3 Objektif Dasar Pendidikan Kebangsaan
Objektif dasar ini adalah dinyatakan di dalam pendahuluan Akta Pendidikan 1961, yang berbunyi :
“ Bahawa dasar pendidikan seperti yang diisytiharkan dalam Ordinan
Pendidikan, 1957 ialah untuk menubuhkan satu sistem pelajaran yang
akan dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan
perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik.”
Objektif ini dinyatakan secara am di dalam pelaksanaannya iaitu Kementerian Pendidikan dengan berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 telah menginterpretasi sebagai menyatupadukan kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga kerja bagi keperluan ekonomi. Objektif ini telah diperkhususkan lagi setelah Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya ditetapkan. Bidang tugas itu menunjukkan bahawa Dasar Pendidikan diharap dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara dalam jangka panjang dan pendek, melahirkan masyarakat yang bersatu padu, berdisiplin dan terlatih.
2. Strategi Menjayakan Dasar Pendidikan Kebangsaan
Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat yang bersatu padu. Sememangnya Falsafah Pendidikan Kebangsaan menyatakan bahawa :
” Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara ”
Oleh itu beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan. Antaranya adalah seperti berikut:
a. Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama
b. Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan Malaysia bagi
semua jenis sekolah;
c. Mewujdkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
d. Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
e. Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan menyediakan pendidikan yang menyeluruh seimbang dan bersepadu;mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan tahun
f. Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberikan perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik dikawasan luar bandar atau pendalaman
g. Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru Sekolah Rendah ( KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca ,menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada Kurikulum Baru sekolah Menengah ( KBSM ) pada tahun 1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai moral serta nilai etika yang kukuh
h. Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui penyusunan semula kurikulum Sek. Vokasional pada tahun 1978.
i. Sistem pendidikan yang memenuhi keperluan, perkembangan dan pembangunan masyarakat dari segi sosial, ekonomi, politik dan kebudayaan masyarakat negara ini
j. Membentuk pengajaran yang cekap dan berkesan
k. Membentuk sistem pendidikan yang memenuhi keperluan ibubapa
l. Pembentukan undang-undang yang sentiasa dapat menjamin perkembangan dan peningkatan taraf sistem pendidikan dari masa ke semasa
Di samping strategi-strategi di atas, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga dilaksanakan dengan mengada dan memperkemaskan tenaga pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di samping itu, beberapa bahagian dan Jawatankuasa telah ditubuhkan di Kementerian Pendidikan yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar Pendidikan Kebangsaan bagi mempastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini.
Penyata Razak 1956 boleh dianggap sebagai batu asas bagi perkembangan sistem pendidikan kebangsaan menyatakan:
“ Tujuan dasar pelajaran di dalam negeri ini ialah bermaksud hendak menyatukan budak-budak daripada semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar yang besar, walaupun perkara ini tiada dapat dilaksanakan dengan serta merta melainkan hendaklah diperbuat dengan beransur-ansur.”
(Penyata Razak, perenggan 12, 1956)
Atas rasa kesedaran kebangsaan menerusi pendidikan sebagai alat untuk mencapai perpaduan bangsa, maka satu jawatankuasa ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan yang sedia ada. Maka Akta Pelajaran 1961 telah dirangka berasaskan Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 yang menekankan penggunaan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan.
Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu, penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.
Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran dan Assunnah dan Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam sifat-sifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling menghormati sesama manusia.eg
a
3. Isu-isu Semasa Berkaitan Dasar Pendidikan Kebangsaan
Setelah 50 tahun merdeka, tidak banyak perubahan yang dilakukan dalam sistem pendidikan kita kecuali menokok tambah sistem pendidikan yang diperkenalkan oleh British sejak tahun 1819.
Antaranya, membina falsafah pendidikan negara yang dikatakan beracuankan Malaysia melalui pengenalan KBSR dan KBSM pada tahun 1980an. Manakala sebahagian besar sistem pendidikan (dasar pendidikan, struktur organisasi dan aktiviti institusi) masih lagi mengekalkan warisan pendidikan British.
Antara yang ketara, kita masih mengekalkan sistem pendidikan berasaskan etnik, mengagungkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu, memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan ilmu sosial dan teknikal.Pengenalan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) walaupun dilihat seperti cuba melengkapi kelemahan ini, perlaksanaanya masih belum membuktikan apa-apa kejayaan setakat ini. Terdapat lima isu utama berkaitan pendidikan yang perlu diberi perhatian oleh Kementerian Pelajaran di negara kita.Pertama, Kementerian Pelajaran perlu meneliti semula secara menyeluruh kandungan kurikulum yang semakin tidak sesuai di sekolah. Contohnya mengapa dalam suasana pelajar telah dapat mengakses maklumat menggunakan kecanggihan internet, dalam masa yang sama mereka masih disogokkan dengan kandungan kurikulum sejarah zaman prasejarah dan perlu mempelajari dengan begitu mendalam. Sedangkan sejarah pada tahun 1970an dan 1980an begitu sedikit disentuh. Matapelajaran sejarah juga sepatutnya disepadukan dengan pembelajaran pelbagai budaya sesuai dengan kehidupan masyarakat Malaysia yang berbagai kaum dan agama.
Kedua, kita masih lagi menghadapi krisis berkaitan dengan pembangunan pendidikan bahasa. Walaupun program memperkasakan Bahasa Inggeris telah dilaksanakan di peringkat sekolah rendah namun hanya pada akhir tahun ini saja keputusan akan diketahui sama ada projek ini akan diteruskan atau tidak.Bagaimanapun jelas sekali para guru, penyelidik, ibubapa serta pelajar merasakan penggunaan Bahasa Inggeris melalui subjek Matematik dan Sains bukanlah suatu keputusan yang bijak.
Selain jurang antara pelajar di bandar dan luar bandar semakin melebar dari segi pencapaian, jurang pencapaian juga semakin ketara di kalangan pelajar Melayu dan bukan Melayu. Malah pelajar melayu khususnya, minat terhadap matapelajaran Sains dan Matematik juga dikatakan menurun selepas dasar ini diperkenalkan sejak lima tahun lepas.
Apa yang sepatutnya dilakukan adalah memantapkan lagi pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di dalam kelas dan bukan menambahkan lagi beban murid dan guru dengan penggunaan Bahasa Inggeris di dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Jika dilihat dari sudut sejarah, contohnya negara-negara barat seperti Amerika dan Eropah. Mereka sanggup menterjemahkan buku-buku dari bahasa arab yang berkaitan sains dan matematik ke bahasa inggeris sehingga kita sendiri lupa bahawa asalnya ilmu sains dan matematik itu adalah dari para ilmuan Islam yang agung. Perkara yang sebaliknya pula berlaku di negara kita, begitu bersusah payah menterjemahkan dan mencetak buku-buku matematik dan sains menggunakan bahasa inggeris dengan alasan bahasa inggeris adalah bahasa antarabangsa.
Rasanya kita seperti sudah melupakan, bahawa suatu ketika dahulu bahasa melayu adalah bahasa yang digunakan dalam perdagangan. Atau pun kita terlalu malu untuk mengakui hakikat bahawa penggunaan Bahasa Melayu sudah semakin merosot dalam kalangan para pelajar Melayu dan bukan Melayu.
Sebagai bahasa perpaduan dan juga bahasa komunikasi, jelas sekali bahawa Bahasa Melayu semakin hilang sengatnya. Kalangan remaja Melayu khususnya di bandar sudah mulai kurang bertutur bahasa Melayu kerana cara hidup yang lebih mengutamakan bahasa Inggeris. Manakala di kalangan remaja bukan Melayu hanya menggunakan bahasa itu proses pembelajaran di bilik darjah.Mereka lebih cenderung untuk mengunakan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris di dalam kehidupan harian. Malah pelajar juga dikatakan seringkali gemar menggunakan bahasa Melayu 'rojak' dan tidak berkemahiran menggunakan bahasa Melayu standard dalam pengucapan mereka.
Ketiga, keinginan bersungguh-sungguh khususnya di kalangan para pegawai tertinggi Kementerian Pelajaran untuk meningkatkan pembangunan pendidikan dalam kalangan pelajar di pendalaman, luar bandar serta setinggan di bandar. Peruntukan khas sememangnya diperlukan untuk membantu kumpulan ini secara berterusan.
Kelompok pelajar ini sebenarnya memerlukan lebih daripada apa yang ada sekarang. Di atas dasar pendidikan untuk semua serta pendemokrasian pendidikan, kumpulan yang kurang bernasib baik kerana kemiskinan ibu bapa perlu dibantu sehingga mereka dapat keluar daripada lingkungan kedaifan untuk mendapat pendidikan. Perlunya satu dasar dan strategi yang besar untuk menyelesaikan isu ini di pihak Kementerian Pelajaran.
Sehingga kini, tiada satupun strategi yang dapat dinobatkan sebagai berjaya meningkatkan peluang pendidikan bagi mereka yang tinggal di pendalaman khususnya Sabah, Sarawak serta Kelantan. Begitu juga dengan kumpulan pelajar di luar bandar yang hidup serba kekurangan dan juga anak-anak di kawasan setinggan yang tertekan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan berkualiti.
Isu ke empat ialah penekanan keterlaluan terhadap bidang sains dan teknologi tidak akan melahirkan keseimbangan individu seperti yang diharapkan di dalam falsafah pendidikan negara. Penekanan seharusnya turut diberikan kepada pembangunan estetika dan seni budaya kepada para pelajar. Ilmu muzik, tarian, seni tampak dan seni halus perlu digabungkan di dalam kurikulum sekolah agar para pelajar memiliki jiwa yang halus serta menghargai kehidupan dan budaya. Malangnya oleh kerana kesibukan pihak sekolah mengajar sains dan teknologi akhirnya menghasilkan insan yang bukan sahaja tidak mempunyai minat di dalam menghargai seni dan budaya tetapi juga menipiskan jati diri serta identiti bangsa.Akhir sekali, kita memerlukan revolusi pendidikan yang besar jika ingin melihat Islam sebagai agama yang memandu kehidupan anak-anak kita apabila mereka dewasa nanti. Walaupun era kolonialisme telah berlalu namun ia berjaya memecahkan kehidupan orang Melayu kepada segmen-segmen yang kecil dan dilihat berasingan antara satu sama lain. Kolonialisme telah menyebabkan kita memisahkan pendidikan Islam daripada pendidikan arus perdana di negara kita.
Peranan pendidikan agama telah dikesampingkan dan diserahkan kepada pihak swasta atau orang perseorangan untuk mengajarkan pendidikan Islam kepada anak-anak melalui sekolah agama swasta atau belajar agama di rumah-rumah guru agama.
Masa yang diperuntukan untuk pendidikan agama sekitar empat hingga enam jam seminggu dalam waktu persekolahan adalah terlalu kecil dan tidak memadai. Maka pendekatan yang lebih radikal, drastik dan berani perlu dilaksanakan supaya pendidikan Islam ditadbir urus secara menyeluruh dan menjadi teras kepada sistem pendidikan arus perdana oleh pihak Kementerian Pelajaran.
Walaupun pihak Kementerian Pelajaran telah berjaya meningkatkan keupayaan pengurusan pendidikan, latihan guru serta lain-lain hal yang berkaitan dengan pendidikan tetapi sehingga kini perbincangan dalam masyarakat menunjukkan lima isu di atas sudah sampai ke tahap yang memerlukan pengubahsuaian atau lebih baik merevolusikan sistem pendidikan untuk kebaikan anak cucu pada masa depan.
Kesimpulan
Dalam suasana masyarakat majmuk yang masyarakatnya mempunyai pelbagai agama, budaya dan fahaman tentunya perkara yang berkaitan dengan perpaduan nasional perlu diambil perhatian dari semasa ke semasa. Untuk mewujudkan proses pemasyarakatan ini, pendidikan adalah merupakan satu kaedah terpenting.
Hasrat, perancangan dan strategi reformasi pendidikan yang terjelma melalui Penyata Razak 1956 dulu telah menampakkan kejayaan. Walaupun tidak sepenuhnya. Sebagai sebuah negara yang mempunyai pelbagai bahasa dan kaum, adalah amat wajar bahasa Melayu telah dipilih untuk menjadikan bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara.
Menyedari betapa pentingnya tujuan untuk memastikan sistem pendidikan negara menjadi wadah berkesan ke arah memenuhi aspirasi negara, selaras dengan usaha untuk melahirkan generasi yang bersatu padu, dapat menyesuaikan diri dalam masyarakat, membina kemajuan dan kesejahteraan diri serta menyumbang kepada keharmonian dan kemakmuran Negara, semua pihak harus meletakkan kepentingan nasional dan negara pada kedudukan paling utama daripada kepentingan masing-masing. Hal ini dapat dilakukan dengan memberikan sokongan dan dorongan kepada usaha-usaha murni dan program -program yang sistematik. Kesemua ini adalah bertujuan memupuk dan mengukuhkan hubungan antara kaum yang terdapat di Malaysia tanpa melupakan matlamat dan aspirasi negara dalam menuju Wawasan 2020 iaitu menjadi negara maju mengikut acuan sendiri
Rujukan:
Ibrahim Saad. 1992. Perubahan Pendidikan di Malaysia, Satu Cabaran Dewan Bahasa Pustaka.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006), Edisi Pelancaran PIPP, Kementerian Pelajaran Malaysia.
Pembangunan Pendidikan 2001-2010, Perancangan Bersepadu Penjana Kecemerlangan Pendidikan. Kementerian Pelajaran Malaysia.
Sufean Hussin (2002), Dasar Pendidikan Progresif, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Seri Kembangan.
Sufean Hussin (1993), Pendidikan di Malaysia , Sejarah, Sistem dan Falsafah. Dewan Bahasa Pustaka.Kuala Lumpur.
http://apps2.emoe.gov.my
No comments:
Post a Comment